KAFA bantah kad merah kepada Nik Shahrul

Goerge Boateng (kiri) ditenangkan oleh pemain-pemainnya selepas dia masuk ke dalam padang dan menuju ke arah pengadil dengan perasaan marah selepas tamat perlawanan Kelantan dengan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin. 

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengemukakan laporan penuh kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden layangan kad merah kepada tonggak pertahanan The Red Warriors, Nik Shahrul Azim Ab. Halim dalam perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) kelmarin.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim berkata, laporan tersebut akan dikemukakan dalam masa terdekat bersama dengan klip video yang melibatkan insiden berkenaan.

"Pada masa yang sama, kami juga akan mengemukakan rayuan untuk mempertimbangkan semula hukuman yang dikenakan ke atas Nik Shahrul Azim dalam perlawanan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Insiden tersebut berlaku pada minit ke-87 apabila Nik Shahrul Azim dilihat melakukan terjahan keras k eatas pemain JDT, Mohd. Daudsu Jamaludin mengakibatkan dia dilayangkan kad kuning.

Pemain itu kemudian dilihat melakukan provokasi terhadap pengadil Mohd. Zohril Tajuddin yang menyebabkan dia ditunjukkan kad kuning kedua.

Tindakan Mohd. Zohril itu menimbulkan kemarahan kepada pengendali The Red Warriors, Goerge Boateng yang meluru ke arah pegawai perlawanan itu di tengah padang sejurus perlawanan tamat namun dia dihalang dan ditenangkan oleh pemain dan pegawai pasukan.

Menurut Azman, berdasarkan kepada klip video rakaman insiden tersebut mendapati Nik Shahrul Azim melakukan hadangan bersih ke atas Mohd. Daudsu.

Bagaimanapun, sebelum Nik Shahrul Azim dibuang padang, JDT telah pun mendahului 3-0 menerusi Jorge Pareyra Diaz pada minit ke-28, Jasazrin Jamaludin (ke-48) dan Luciano Fugueroa (ke-67).

Azman memberitahu, walaupun keputusan perlawanan adalah muktamad namun hukuman ke atas pemain boleh dikaji semula oleh badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) pernah menarik balik kad merah dalam perlawanan Piala AFC 2014 setelah pengadil dibuktikan khilaf.