LAHORE, Pakistan – Dua beradik menerima jolokan 'budak solar' kerana kondisi mereka yang aneh menyebabkan doktor di Pakistan tertanya-tanya punca penyakit kedua kanak-kanak itu.
Shoaib Ahmed, 9 dan Abdul Rashid, 13, kelihatan normal sahaja ketika matahari sedang bersinar. Namun sebaik sahaja matahari turun, kondisi kedua beradik itu mula menjadi pelik - tidak mampu bergerak atau bercakap - seolah-olah mereka seperti sudah 'separuh mati'.
Kondisi aneh ini menyebabkan mereka digelar budak solar dalam kalangan warga tempatan
Professor dari Institute Sains Medikal Pakistan, Javed Akram berkata kepada AP pada Khamis bahawa beliau tidak tahu apa yang menyebabkan penyakit aneh ini.
"Kami mengambil perkara ini sebagai satu cabaran. Doktor kami sedang menjalankan ujian medikal untuk mencari sebab mengapa kanak-kanak ini aktif pada siang hari tapi tidak boleh membuka mata, bercakap atau makan apabila matahari terbenam", kata beliau ketika melawat kanak-kanak itu di hospital.
Akram berkata, kerajaan akan membiayai semua bayaran medikal untuk kedua beradik itu, yang hidup dalam keluarga kurang bernasib baik.
Kedua beradik itu kini sedang dirawat di sebuah hospital di Islamabad dan sampel darah mereka telah dihantar ke pakar di luar negara, kata beliau. Selain itu, penyelidik juga telah mengambil sampel tanah dan udara dari kawasan rumah keluarga itu.
Bapa kepada dua beradik itu, Mohammad Hashim berkata teorinya tentang keadaannya sangat mudah.
"Saya rasa anak-anak saya mendapat tenaga dari matahari", katanya.
Namun, doktor telah pun menidakkan teori tersebut setelah kajian dilakukan.
Kedua beradik itu diletakkan di dalam satu bilik gelap pada waktu siang dan mereka masih boleh bermain seperti normal. - Siakapkeli.my