TANJUNG MALIM 4 Jun - Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-17 yang berlangsung di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah di sini mencatat sejarah tersendiri apabila tiga pasangan suami isteri menerima ijazah sarjana muda masing-masing.
Tiga pasangan guru itu merupakan antara 800 graduan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang menerima ijazah masing-masing setelah mengikuti pengajian secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ)
Bagi pasangan Anwar Ariffin, 33, dan Noridayu Mohamad Sayed, 31, kesungguhan mereka melanjutkan pelajaran di UPSI meninggalkan kenangan manis apabila kedua-duanya berjaya berada di pentas konvokesyen yang sama.
Pasangan itu yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah, Klang, sejak 10 tahun lalu berkata, belajar secara PJJ di bawah PPG sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi kerana komitmen antara keluarga dan pengajian.
“Walaupun agak sukar pada mulanya, sistem online yang dibangunkan UPSI bukan sahaja membantu kami untuk berinteraksi dengan pensyarah dan rakan, malah memudahkan aktiviti forum dan psoses penghantaran tugasan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, pasangan N. Panir Selvam dan P. Puspam, 35, yang masing-masing mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kangkar Pulai, Johor berkata, kemasukan mereka ke UPSI adalah permohonan kedua selepas tahun 2003.
“Apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di UPSI, kami berdua amat gembira kerana UPSI merupakan sebuah universiti pendidikan yang masyhur.
“Kami sememangnya sibuk dengan tugasan sekolah dan membuat tugasan universiti selepas menidurkan anak, tetapi itu semua berjaya kami atasi bersama,” katanya.
Panir Selvam yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Tamil sementara isterinya pula menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah.
Sementara itu pasangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah, Riduan Ramle, 38, dan Norhazliza Husin, 39, menyifatkan UPSI sebagai pilihan yang tepat kerana sistem pembelajaran yang efisien dan sesuai untuk golongan pendidik.
Pasangan berasal dari Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang, yang sebelum ini pernah menolak tawaran dua universiti awam lain memilih melanjutkan pelajaran di UPSI kerana kedudukan universiti itu yang tidak jauh dari rumah.
“Memang mencabar terutama dalam hal menguruskan anak-anak, tetapi kegigihan kami mengatasi semua itu. Perancangan dibuat sebaik mungkin agar semuanya seimbang.
“Kadang-kadang anak kami yang akan bertanya sama ada kami sudah menghantar tugasan atau belum supaya dapat memberi tumpuan kepada mereka pula,” katanya.