Bekas presiden Mesir Mohamed Mursi berdepan hukuman mati



Kaherah: Bekas Presiden Mohamed Mursi berdepan hukuman mati Selasa ini atas tuduhan menghasut pembunuhan penunjuk perasaan, keputusan pertama kes terhadapnya selepas hampir dua tahun digulingkan.

Dia juga berdepan dengan hukuman sama dalam dua perbicaraan lain, termasuk satu yang membabitkan tuduhan mengintip untuk kuasa asing dan melarikan diri dari penjara ketika rusuhan anti-Mubarak pada 2011.

Keputusan berasingan terhadap dua kes itu dijadual diumumkan 16 Mei depan.

Pakar berkata, keputusan mati terhadap presiden Mesir yang pertama dipilih secara bebas tidak boleh ditolak memandangkan hakim sebelum ini menjatuhkan hukuman keras terhadap pegawai kanan Ikhwanul Muslimin, pergerakan Islam yang pernah diketuainya.

Mohamed Mursi digulingkan ketua tentera ketika itu yang kini Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada 3 Julai 2013 berikutan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap pemerintahannya.

Keputusan esok membabitkan kes yang mendakwa Mohamed Mursi dan 14 defendan lain, tujuh daripada mereka masih diburu, membunuh tiga tunjuk perasaan dan mendera beberapa lagi ketika pertempuran di depan istana presiden pada 5 Disember 2012.

Hampir semua pemimpin Ikhwan dikenakan hukuman keras dan ia disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Mesir pada 2013. - Agensi


Sumber