Penduduk kampung lihat helikopter meletup di udara

type='html'>

SEMENYIH : Seorang saksi yang juga penduduk kampung mendakwa melihat sebuah helikopter meletup di udara sebelum terhempas di Kampung Pasir Baru, Sungai Pening, di sini, petang tadi.


Pengawal keselamatan, Roslan Harun, 53, berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 4.30 itu, beliau sedang berehat di rumahnya. "Mula-mula pak cik dengar bunyi kipas kuat...nampak helikopter meletup dan terbakar di udara. Selepas itu helikopter mula jatuh ke bawah.


"Tiba-tiba, pak cik dengar letupan kali kedua, mungkin waktu itu, ia sudah berada di darat. Hujan juga ketika itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.





Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan. Kawasan kejadian itu juga sudah ditutup kepada orang awam sejak jam 6.30 petang.

Menurut jurucakap bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan pada jam, 4.57 petang.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Bangi dan Kajang diarahkan ke lokasi kejadian.


“Laporan awal mendapati helikopter terhempas dan terbakar. Terdapat enam mangsa dalam pesawat berkenaan.

Maklumat awal, bangkai helikopter ditemui kira-kira jam 6. 10 petang.

“Tiga mangsa termasuk dua rentung berjaya ditemui, manakala, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan ke atas tiga lagi mangsa,"katanya

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, pesawat yang terhempas adalah milik swasta S 365 (Solitaire Services) yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang.

Maklumat turut tersebar, helikopter tersebut membawa beberapa orang kenamaan dan pegawai kerajaan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, tiga mayat nahas helikopter itu telah ditemui, dan pihak berkuasa sedang mencari tiga lagi penumpang lain.
    
Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.
    
"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.

Sumber: