UTP lancar rawatan islam pertama di dunia guna telefon bimbit

type='html'>
Rawatan Islam pertama di dunia guna telefon bimbit

SERI ISKANDAR : Universiti Teknologi Petronas (UTP) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih Sistem Perubatan Islam Secara Ruqyah atau 'Mobile Islamic Ruqyah Medication System' (M-IRMS), yang pertama di dunia, bagi merawat pelbagai masalah kesihatan melalui bacaan al-Quran dan hadis.

Naib Canselor UTP, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim berkata aplikasi itu menyediakan rakaman doa dan ayat suci al-Quran yang dibaca sendiri oleh pengasas pusat rawatan Islam terkenal, Darussyifa', Datuk Dr Haron Din bagi menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk masalah kesihatan umum, fizikal dan rohani serta gangguan mistik.    
    
Beliau berkata, aplikasi M-IRMS memenangi beberapa anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa, antaranya, pingat emas di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) baru-baru ini.

"Aplikasi ini berpotensi besar menjadi rujukan masyarakat Islam di Malaysia mahupun di Asia Tenggara yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
    
"Kita juga sedang mengusahakan aplikasi ini dalam Bahasa Inggeris dan dijangka siap dalam masa terdekat," katanya ketika berucap pada pelancaran aplikasi M-IRMS yang disempurnakan oleh Haron di Dewan Canselor UTP di sini.

Pada majlis itu, Haron turut menyampaikan syarahan bertajuk 'Ruqyah Islam Suatu Perubatan Komplimentari'.
    
Sementara itu, Ketua Penyelidik aplikasi itu, Dr Hanita Daud, yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat UTP, berkata M-IRMS yang diusahakan sejak Jun 2014 dengan kos RM50,000 mendapat sambutan memberangsangkan apabila mencatat lebih 1,000 muat turun selepas diperkenal pada 4 Februari lepas.
    
Hanita berkata, dengan kewujudan aplikasi M-IRMS, ia membolehkan masyarakat mendapatkan rawatan melalui bacaan al-Quran dan hadis dengan lebih pantas dan tepat, terutama apabila ia mendapat sokongan luar biasa Haron yang juga tokoh rawatan Islam terkenal.  
    
"Aplikasi ini diilhamkan selepas saya membaca buku yang ditulis Datuk Haron Din dan saya dapati ia kurang mendapat sambutan, terutama daripada kalangan generasi Y, jadi saya olahkan ia ke dalam bentuk aplikasi mudah alih supaya mereka boleh menggunakannya ketika mereka sakit tanpa mengira tempat dan waktu," katanya.
    
Beliau juga berkata pengguna Android dan IOS boleh memuat turun aplikasi itu dengan bayaran RM5. - Bernama

Sumber: