Bagi mereka yang mahukan kelainan ketika bersarapan pagi ala-ala pendekar melayu zaman dulu kala, bolehlah berkunjung ke gerai Qawwam di Felda Bukit Cerakah, arah Meru berhampiran Puncak Alam, Selangor.
Berpegang teguh pada konsep 'Melayu Bertakhta, Berdaulat dan Beraja', pastinya akan menjanjikan suasana yang unik dan berbeza dari gerai atau kedai sarapan pagi yang lain.
Menu utama sarapan pagi di gerai Qawwam ini, roti canai dan nasi lemak. Namun, apa yang menariknya, para pekerja menggenakan pakaian Melayu asli.
Semua pekerja gerai yang dibuka sejak 1996, menggenakan pakaian Melayu asli. Termasuklah tukang bancuh air dan tukang masak di dapur.
MIOR |
Penyelianya, Mior Yazid Abdul Manaf, 46, memilih konsep busana Melayu asli sebagai 'uniform' rasmi pekerja gerai sebagai satu usaha memperjuangkan adat dan budaya Melayu asli.
Menurut Mior, operasi gerai ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan yang digerakkan oleh ahli ‘keluarga besar’ Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia yang terkenal dengan kumpulan muzik dan kebudayaan Dendang Anak.
“Pada peringkat awal ia tidak mendapat pandangan yang baik daripada masyarakat.
“Nak kembali semula kepada adat dan budaya Melayu yang telah lama ditinggalkan adalah satu proses yang lama. Ia mengambil masa untuk diterima, tapi kita pun tak sangka lama-kelamaan idea dan konsep ini diterima juga seperti yang dapat dilihat pada hari ini,” katanya.
Gerai Qawwam yang bermaksud kekuatan atau kekuasaan ini dibuka setiap hari dari jam 7 pagi dan setiap pekerja diwajibkan memakai pakaian Melayu asli dan bertanjak sepanjang waktu bekerja,
Sekilas pandang, suasana sarapan pagi di gerai Qawwam tidak ubah seperti filem Melayu lama yang pernah dilakonkan oleh pelakon seperti Nordin Ahmad, P. Ramlee dan lain-lain yang pernah ditonton di kaca televisyen.
“Ramai yang tanya sama ada kami panas atau tak berpakaian macam ni. Saya jawab ‘tidak’ sebab kami sudah terbiasa dengan pakaian macam ini, bukan setakat di gerai ini saja, kadang-kadang ke pasar malam pun kami pakai pakaian Melayu asli ini,” katanya.
Jelas Mior, hampir kesemua pakaian Melayu Asli yang dipakai oleh pekerja Qawwam dijahit oleh isterinya sendiri.
Disebabkan gerai Qawwam menampilkan konsep yang unik dan tidak pernah ada di Malaysia, ramai pelanggan yang sanggup datang dari jarak jauh untuk bersarapan di sini semata-mata mahu melihat gerai Qawwam di mata sendiri.
“Mereka sukakan pakaian dan makanan yang dijual. Tapi dalam masa yang sama kita harap mereka tidak sekadar datang makan tetapi cara ini secara tak langsung dapat menyuburkan kembali peradaban dan kebudayaan Melayu pada masa kini,” katanya.
Selain dari konsep yang unik, gerai Qawwam juga membantu pekerja-pekerjanya yang bermasalah termasuklah yang pernah terjebak dengan dadah tetapi berjaya dipulihkan dengan bantuan persatuan.
Sumber asal - mStarOnline