KOTA KINABALU: Gambar lima warga asing kononnya membuang air kecil di puncak Gunung Kinabalu menjadi viral di Facebook mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat Sabah.
Dalam gambar yang diambil dari jauh, terdapat lima individu yang dilihat membuang air kecil dengan berlatar belakang puncak gunung yang menjadi kebangaan masyarakat Sabah.
Taman-Taman Sabah telah diperintahkan untuk menyiasat perkara itu bagi memastikan kejadian tersebut benar-benar berlaku atau sekadar gambar yang disunting, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun.
"Ia boleh menjadi gambar yang disunting. Kami sedang melakukan siasatan penuh," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.
Pengerusi Taman-Taman Sabah Tengku Zainal Adlin berkata, tindakan sedemikian menggambarkan sikap tidak menghormati kepercayaan segelintir masyarakat yang menganggap gunung tersebut sebagai tempat suci.
Kaum Kadazan Dusun percaya bahawa gunung ini adalah tempat berehat suci roh-roh nenek moyang mereka dan patut dijaga dengan penuh hormat.
Mereka juga percaya bahawa perkataan Kinabalu berasal daripada perkataan Aki Nabalu yang bermaksud tempat kediaman orang mati.
Mengutuk perbuatan itu, netizens berkata setiap pendaki perlu dimaklumkan tentang perkara itu agar mereka menunjukkan rasa hormat serta memberitahu tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan ketika mendaki gunung tersebut.
Gambar tersebut dimuat naik ke laman sosial pada 30 Mei lalu.