Daging yang dipotong nipis, dijeruk dengan perahan limau kasturi dan garam.
Hanya digoreng dengan bawang besar dan cili padi, dimakan begitu sahaja dengan nasi putih memang sedap dan membuka selera.
Selalunya kita jumpa ikan jeruk, petai jeruk dan lada jeruk.
Pengenalan
Resipi yang dikongsikan oleh Puan Yuss Aisya, daging jeruk ini kali pertama dicuba oleh saya.
Sedap betul apabila dimakan begitu sahaja dengan nasi putih. Daging digoreng dengan bawang dan cili padi.
Menu wajib bulan puasa nampaknya.
Langkah 1
Daging merah dalam keadaan beku atau separa beku.
Mudah dipotong kerana untuk mendapatkan kepingan daging yang nipis.
Bahagian ini top side.
Kenapa 4 segi? Mana nak beli macam ini?
Sebenarnya ianya bukan 4 segi. Ianya adalah bahagian daging batang pinang (top side). Bentuknya besar dan panjang.
Selalu saya beli seketul besar dalam keadaan beku untuk kegunaan rumah.
Saya kerat kepada beberapa bahagian. Dalam keadaan separa beku (luar dah tak beku tetapi dalam masih beku).
Bahagian luar saya guna masak apa-apa. Bahagian dalam saya dapatkan potongan 4 segi untuk buat daging jeruk.
Langkah 2
Letakkan di dalam tapis untuk menapis air lebihan daging.
Perlu basuh selepas dipotong nipis?
Tak perlu. Saya basuh ketika seketul besar. Hanya lalukan air sahaja.
Bila kena basuh?
Basuh ketika seketul besar dengan hanya lalukan air sahaja. Bila sudah hiris nipis jangan dibasuh lagi.
Apabila basuh selepas dipotong, manis dan nutrisi daging akan menyusut nilainya kerana larut dalam air.
Langkah 3
Sediakan bahan-bahan untuk menjeruk:
1. Bekas kontainer
2. Garam halus
3. Limau kasturi yang dibuang biji
Langkah 4
Susun daging di dalam bekas kontainer.
Taburkan garam rata ke keseluruhan daging.
Langkah 5
Perahkan limau ke serata daging.
Langkah 6
Susun lagi daging di lapisan seterusnya. Taburkan garam ke serata daging.
Langkah 7
Perah limau lagi ke serata daging.
Ulang lagi melapis daging => garam => perahan limau.
Langkah 8
Sehingga habis daging tersebut. Masukkan limau yang telah diperah tadi.
Siap untuk diperam. Saya letakkan di dalam peti sejuk di bahagian chiller.
Langkah 9
Selepas satu hari, daging mula berubah warna setelah mengalami proses penapaian.
Saya tunggu lagi seminggu baru masak supaya daging menjeruk sebaiknya.
Ta-daa!
Saya masak setelah daging menjeruk seminggu.
Makan dengan nasi putih sahaja. Sedap rupanya daging jeruk ini.
Perlu basuh atau tidak sebelum goreng?
Tak perlu.
Lembut ke dagingnya?
Lembut sebab saya guna daging top side dan dipotong nipis-nipis.
Perlu rebus?
Tak perlu rebus.