Laman Utama Terkini 27 Kes Maut Membabitkan Kemalangan Berkaitan Elektrik – TNB

KOTA BAHARU – Sejumlah 64 kemalangan membabitkan elektrik dengan 27 kes maut dicatatkan di seluruh negara tahun lepas, kata Pengurus Besar Bahagian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB), Abdul Rahim Omar.

Beliau berkata antara punca utama yang dikenal pasti adalah pemasangan dan penyelenggaraan tidak mematuhi prosedur kerja yang selamat, dengan 18 kes dicatatkan berlaku di Kelantan pada tahun lepas.

“Bagaimanapun tiada kemalangan elektrik direkodkan bagi sektor pendidikan sejak 2012, sama ada peringkat sekolah atau pun institusi pengajian tinggi,” katanya kepada pemberita di Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik 2015 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol di sini, hari ini.

Program yang dihadiri 300 pelajar dan guru daripada 18 buah sekolah di jajahan Bachok itu dirasmikan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Hussain Awang.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata seramai 10,000 guru dan pelajar daripada kira-kira 2,000 sekolah di semenanjung telah menyertai kempen kesedaran itu sejak 2008 yang bertujuan menyalur maklumat dan memupuk kesedaran mengenai kepentingan elektrik di peringkat sekolah.

“Selain berkongsi ilmu kita juga harap pelajar dan guru menjadi pemberi maklumat kepada TNB bagi membanteras perbuatan jenayah dan vandalisme yang boleh mendatangkan pelbagai masalah keselamatan elektrik.

“Lima program sama juga telah dilaksanakan di Pahang, Perak, Kedah dan Perlis pada tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Komen

comments