700 dikhuatiri lemas, bot pendatang karam di Itali



ROME: Seramai 700 orang dikhuatiri lemas selepas sebuah bot nelayan yang padat dengan pendatang terbalik di luar pesisir Libya malam tadi, sekali gus menjadi antara nahas paling buruk membabitkan pendatang di Laut Mediterranean, kata pegawai kerajaan.

Hanya 28 orang berjaya diselamatkan dalam insiden itu yang berlaku di kawasan luar pesisir perairan Libya, selatan kepulauan selatan Itali, Lampedusa, kata seorang pengawal pantai Itali.

Jika disahkan, insiden itu adalah yang paling teruk berlaku dalam krisis migrasi selama berdekad di selatan Mediterranean dan menjadikan jumlah korban sejak tahun ini kepada lebih 1,500 mangsa.

"Ketika ini, kami bimbang tragedi ini akan menyaksikan korban yang besar," kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Carlotta Sami.

Pegawai Itali mengesahkan bahawa kapal tentera laut terbabit dalam operasi, yang dikendalikan pengawal pesisir di Rome.

Namun, katanya butiran nahas itu masih belum dimuktamadkan. Seorang mangsa terselamat berkata, sekurang-kurangnya 700 orang ada dalam bot itu.

Bot terbalik kerana ramai bergerak ke sebelah bot, ketika sebuah bot lain menghampiri dengan harapan untuk menyelamatkan mereka," kata Sami.

Libya yang hampir tiada berkerajaan selepas pemimpinnya Muammar Gadaffi digulingkan pada 2011 menyebabkan jenayah penyeludupan manusia bergerak bebas untuk menghantar bot membawa pelarian terdesak dari Afrika dan Asia Barat. Kira-kira 20,000 pendatang tiba ke Itali tahun ini, menurut jangkaan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM).

Ia lebih rendah daripada empat bulan pertama tahun lalu, namun jumlah kematian sudah meningkat sembilan kali ganda. - REUTERS


Sumber