Jangan Perkecil Soal Perpaduan – Ronald


BELURAN – Soal perpaduan tidak harus diperkecil, tidak harus tidak diendahkan kerana nilai dan budaya ini akan menentukan keharmonian, ketenteraman dan keamanan sesuatu kawasan, negeri seterusnya negara sekiranya diamalkan, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee


Beliau berkata nilai dan budaya perpaduan yang tinggi masih diamalkan di Sabah dan wajar untuk diteruskan demi kesejahteraan bersama.


“Kita patut berbangga kerana sebut sahaja budaya dan nilai perpaduan, negeri ini memang sudah cukup terkenal dan kita sedia maklum bahawa sikap berbaik antara satu dengan lain, sikap bertimbang rasa itu antara nilai perpaduan,” katanya.


Kiandee yang juga anggota Parlimen Beluran, berkata demikian pada majlis penutupan program Semarak 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan cawangan Beluran di sini, malam tadi.


Beliau menyifatkan program yang dikendalikan Jabatan Penerangan ini sebagai program yang bertanggungjawab dan berkesan untuk menyampaikan maklumat terkini dan dasar kerajaan agar mudah difahami dan diterima rakyat. – BERNAMA


Komen


comments