Vietnam Lancar Operasi Cari Dua Juruterbang Hilang


HANOI – Pihak berkuasa Vietnam hari ini melancarkan operasi besar-besaran mencari dan menyelamat (SAR) dua juruterbang tenteranya yang dilaporkan hilang ketika menjalani latihan penerbangan.


Kementerian Pertahanan Vietnam dalam satu kenyataan di laman webnya lewat malam tadi berkata, juruterbang berkenaan menerbangkan dua pesawat pejuang buatan Russia, SU-22 yang dikesan terputus hubungan pada tengah hari semalam di perairan tengah negara itu.


Kementerian itu berkata, menerusi usaha mencari, empat bekas simpanan minyak dikesan terapung, selain sisa tompokan minyak dipercayai dari pesawat berkenaan.


Seorang pegawai Jabatan Bencana di Wilayah Binh Thuan, Pham Hung Tan berkata, pasukan tentera laut, polis maritim dan pengawal pantai dikerah menyertai pasukan SAR hari ini.


Kejadian malang itu adalah yang terbaharu selepas dua helikopter tentera Vietnam terhempas menyebabkan 24 anggota terbunuh dalam tempoh sembilan bulan lalu. – AP


Komen


comments