Yemen Tolak Pelan Damai Iran


ADEN – Kerajaan Yemen menolak pelan damai empat perkara untuk negara berkenaan yang diserahkan oleh Iran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ujar seorang jurucakap kelmarin.


Arab Saudi dan negara-negara Sunnah sekutunya mengebom pemberontak Syiah Houthi selama tiga minggu untuk menyekat kemaraan yang membolehkan militia berkenaan menguasai seluruh Yemen.


Konflik itu yang berpunca daripada perbalahan dalaman dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan Iran. Kedua-duanya merupakan pengeluar utama minyak mentah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).


Pelan damai Iran itu menggesa satu gencatan senjata diadakan serta merta, manakala semua serangan tentera asing pula dihentikan.


Inisiatif itu juga mahu bantuan kemanusiaan dan proses dialog dihidupkan semula bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang inklusif.


“Kami menolak pelan damai Iran,” ujar jurucakap kerajaan Yemen, Rajeh Badi. Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai taktik politik Teheran.


Yemen dan sekutunya, Arab Saudi menuduh Iran campur tangan dalam pentadbirannya dalam usaha mendominasi rantau Arab. Namun, tuduhan tersebut dinafikan oleh Teheran.


Iran turut menolak dakwaan bahawa ia menyalurkan bantuan ketenteraan kepada pemberontak Houthi yang semakin mara menghampiri bandar pelabuhan Aden di selatan Yemen. – Reuters


Komen


comments