SEPANG – Polis menafikan berlaku kejadian culik melibatkan seorang remaja perempuan di sebuah kolej di Sepang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu berlaku ketika remaja perempuan itu ke kolej tersebut bersama ibu dan adiknya untuk mengambil keputusan peperiksaan.
Menurutnya, tidak beberapa lama kemudian, datang teman lelaki remaja tersebut datang mengambil mangsa.
“Adik remaja tersebut yang melihat kejadian itu terus memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya.
“Ibu mangsa terkejut dengan tindakan mangsa yang terus meluru menaiki kereta tersebut,” katanya.
Beliau berkata, ibu mangsa yang berang dengan tindakan anaknya itu telah cuba menghubunginya beberapa kali namun gagal.
Malah, ibu mangsa turut menghubungi ayah kepada teman lelaki anaknya itu untuk memaklumkan perkara tersebut, namun mendakwa dia tidak tahu menahu tentang perkara tersebut berikutan tidak tinggal serumah.
Tambahnya, susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis pada keesokan harinya di Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda untuk tindakan lanjut.
“Siasatan polis mendapati kejadian ini bukanlah kes culik seperti yang tersebar luas di laman sosial Facebook.
“Remaja perempuan itu sendiri dengan rela mengikut teman lelakinya tanpa memaklumkan kepada ibunya yang tidak merestui perhubungan cinta mereka,” katanya.
Abdul Aziz berkata, polis kini giat menjejak teman lelaki mangsa untuk bantu siasatan.
Beliau turut menegaskan kepada pengguna laman sosial supaya lebih berhati-hati dan tidak menimbulkan kegusaran kepada orang awam lain.
“Pastikan kesahihan sesuatu kejadian dahulu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.