APMM Tahan 42 Nelayan Asing Beli Minyak Di Perairan Negara



KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu, menahan 42 nelayan asing termasuk merampas sepucuk pistol beserta sejumlah dadah, dalam satu operasi Jumaat lepas.


APMM turut merampas enam buah bot nelayan asing di sekitar 115 batu nautika dari Kuala Terengganu, berdekatan Pelantar Minyak Guntung Alpha dalam operasi dari 6.30 pagi hingga 3 petang itu.


Laksamana Pertama Maritim Xavier Thevandas berkata dua bot nelayan Thailand itu ditahan kerana dipercayai melakukan aktiviti pembelian minyak diesel di tengah laut, manakala penahanan terhadap empat bot nelayan Vietnam itu disebabkan menceroboh perairan negara.


Beliau berkata pemeriksaan ke atas dua bot nelayan Thailand itu mendapati, sebuah bot memuatkan 120,000 liter minyak diesel serta menemui peralatan khas untuk menyalurkan minyak, manakala sebanyak 20,000 liter diesel ditemui pada sebuah lagi bot.


“Kita percaya bekalan minyak itu diperoleh oleh nelayan asing yang mengendalikan bot tempatan dan melakukan aktiviti tersebut di perairan negara.


“Malah, kita tidak menjumpai sebarang hasil tangkapan dalam bot yang dinaiki sembilan warga Thailand dan empat rakyat Kemboja itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Xavier berkata pihaknya turut menemui sepucuk pistol jenis Beretta PX 4 Storm, 10 butir peluru serta 54,000 dolar Singapura yang dipercayai digunakan untuk urusan pembelian minyak, selain 48 biji pil disyaki dadah jenis Methamphetamine yang disorokkan dalam bilik tekong sebuah bot itu.


Bagi penahanan empat bot nelayan Vietnam pula, Xavier berkata pemeriksaan ke atas 29 nelayan termasuk empat tekong yang berusia antara 17 dan 55 tahun itu, mendapati kesemua mereka tidak mempuyai lesen dan permit menangkap ikan yang sah selain tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.


“Kira-kira 5.1 tan metrik hasil laut telah dirampas dan anggaran kesemua nilai rampasan termasuk bot, peralatan menangkap ikan, minyak dan hasil laut berjumlah lebih RM5 juta,” katanya.


Beliau berkata kejayaaan operasi tersebut adalah terbesar pada tahun ini dan pertama kali, pihaknya menemui bot nelayan asing membawa senjata api dan bekalan dadah. – BERNAMA


Komen


comments