"Ingatkan barang yang jatuh, rupa-rupanya..." - peniaga


Sehari selepas kejadian, kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai yang melawat pusat membeli belah Kenanga Wholesale CIty

KUALA LUMPUR: "Ia berlaku begitu pantas, kami sedang sibuk melayan pelanggan!"

Itulah antara reaksi peniaga di pusat membeli belah Kenanga Wholesale City susulan kejadian kanak-kanak berusia enam tahun yang jatuh dari tingkat dua kompleks itu pada petang Jumaat.

Menerusi tinjauan Astro AWANI, pengalaman ngeri itu dikongsi oleh para peniaga yang bertugas pada hari kejadian.

"Saya nampak ibu mangsa berjalan dari kawasan tandas dengan dua anaknya. Sambil marah-marah ketika bercakap dalam telefon, mereka kemudian pergi ke kawasan eskalator. Saya nampak dua kanak-kanak itu sedang bermain dengan railing eskalator.

"Rakan kerja saya ada jerit jangan main-main di situ. Beberapa saat kemudian saya nampak salah satu kanak-kanak perempuan itu 'terangkat' dan terus terjatuh. Selepas itu saya tidak berani nak tengok dah," kata Rita yang bekerja di sebuah kedai yang menjual air dan makanan ringan.

Kedainya betul-betul menghadap eskalator tingkat 2 di mana kejadian berlaku.

"Ketika dia jatuh, tiada bunyi. Ia berlaku begitu pantas. Bayangkan dia jatuh dari tingkat 2 ke B2, iaitu enam tingkat ke bawah.

"Selepas kejadian, ramai yang teringin nak tengok. Sehingga hari ini, ramai yang teringin nak tengok. Saya pun tidak tahu kenapa orang begitu ingin tahu," katanya sambil menambah yang keterangannya turut diambil pihak polis sebagai saksi kejadian.

Siti yang merupakan seorang jurujual di sebuah kedai kasut bersebelahan dengan eskalator tingkat 2 berkata dia sedang sibuk melayan pelanggan ketika kejadian.

"Bila saya dengar ibu mangsa menjerit, kita semua keluar. Bila saya tengok keadaan mangsa di bawah, saya terus menjerit," kata Siti.

Tambahnya, beliau melihat ibu-bapa lebih berhati-hati ketika membeli belah hari ini.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ida turut berada di tingkat 2 ketika kejadian berlaku.

"Saya sibuk dengan pelanggan. Apabila semua menjerit, saya tidak berani nak tengok. Saya begitu takut," jelasnya.

Ida berkata susulan kejadian, kawasan eskalator berkenaan ditutup menyebabkan pelanggan terpaksa menggunakan eskalator yang lain untuk turun naik.

Mangsa yang dikenali sebagai Nurhayada Sofia Musa maut di tempat kejadian di aras B2. 


Kamariah yang bekerja di kedai menjual baju di tingkat satu nampak mangsa jatuh dari tingkat dua.

"Kawasan yang dia jatuh itu kecil; jadi ada macam bunyi terhantuk bila dia jatuh. Saya terut menjerit 'Allahu Akbar'.

"Saya nampak ibu mangsa dan ketika itu beliau kelihatan seperti sedang dail nombor di telefon bimbitnya," kata Kamariah.

Rowena dan Lalah pula merupakan pekerja di sebuah kedai menjual tudung di tingkat LG.

"Saya ingatkan barang yang jatuh, rupa-rupanya...

"Ketika saya hendak keluar dari kedai, saya nampak ibu mangsa dalam keadaan cemas dan dia terus memberikan telefon bimbitnya kepada seorang lelaki yang tidak dikenali dan minta dia beritahu di mana dia berada," kata Rowena.

Tambah Lalah: "Saya tanya Rowena bunyi apa itu? Dan bila dapat tahu apa yang terjadi, kami terus menangis."

Pada Jumaat, mangsa yang dikenali sebagai Nurhayada Sofia Musa maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati bahawa kanak-kanak tersebut jatuh dari tingkat dua hingga ke aras bawah tempat meletak kenderaan. - Astro Awani


Sumber: