‘Elvis’ Malaysia Meninggal Dunia Pada Usia 61 Tahun (Gambar)



John Sia.

SIBU: John Sia, salah seorang ‘peniru’ gaya Raja Rock N Roll, Elvis Presley yang terkenal di negara ini meninggal pada usia 61 akibat strok.

Isterinya, Juliana Wong, berkata John sepatutnya akan mengadakan persembahan dalam satu majlis gala di Kuching pada 30 April ini tetapi sekarang ianya hanya tinggal kenangan kerana beliau sudah tiada lagi.

John meninggal secara mengejut kira-kira pukul 8.40 malam dipercayai berpunca daripada serangan strok yang disebabkan tekanan darah tinggi yang dihidapinya.

“Beliau tidak sihat selepas keluar dari bilik air. Saya kemudiannya mengurut lehernya tetapi dia jatuh pengsan dan terus meninggal,” kata Juliana di sini, Ahad.

Menurut Juliana, John menjalani pemeriksaan kesihatan pada Isnin selepas mengadu tidak sihat sebelum itu.

“John baharu sahaja menghasilkan sut baharu untuk persembahan akan datang,” katanya.

Pasangan itu mempunyai tiga anak lelaki.

Penyampai radio Red FM Kuching, Jennifer Lau berkata John yang menggunakan nama gelaran ‘John Jack Siaz De’King’ menghantar mesej kepadanya sempena Good Friday dengan menyatakan bahawa beliau teruja untuk membuat persembahan.

“Dia bertanya sama ada saya akan hadir pada majlis itu dimana empat Elvis lain, termasuk seorang dari Singapura telah dihubungi penganjur untuk mengadakan persembahan di restoran tersebut.

“Saya emcee untuk majlis itu tetapi tidak memberitahunya kerana ingin membuat kejutan kepada John,” katanya.

Salah seorang daripada tujuh ‘peniru’ gaya Elvis di negeri itu, Sebastian El Bong berkata mereka turut dijadualkan untuk mengadakan persembahan pada 1 Mei ini.

“John dan saya antara dua Elvis berbangsa Cina di negeri ini. Pemergiannya amat kami rasai,” kata Sebastian, lapor mStarOnline.

Sumber: