GST: Peniaga Diberi Tempoh Pasang Sistem Komputer


JOHOR BAHRU – Peniaga yang masih belum memasang sistem pengkomputeran ‘tempat jual (POS) mengikut piawaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengeluarkan invois cetak bersiri, kini mempunyai tempoh sehingga 30 September ini.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata tempoh lanjutan itu diberi ekoran masih ramai peniaga, terutama peniaga kecil, menghadapi kesukaran memasang sistem berkenaan.


“Bagi yang belum melaksanakan sistem pengkomputeran, mereka boleh menulis di atas invois yang dicetak. Pihak kastam sebelum ini memberikan tempoh sehingga 30 April, namun selepas perbincangan dengan agensi terlibat, tempoh ini dilanjutkan sehingga 30 September,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah kedai runcit yang melaksanakan POS di sini hari ini.


Beliau turut meminta anggota Kastam serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya tidak terlalu agresif ketika turun padang, sebaliknya memberi bimbingan agar pihak peniaga lebih faham mengenai pelaksanaan GST.


“Kita dapat maklum balas bahawa bukan semua peniaga dapat melaksanakan sistem pengkomputeran dalam jangka masa yang begitu singkat, terutama peniaga kecil, memandangkan ada barang jualan mereka dikenakan kadar standard dan kadar sifar,” katanya.


Selain itu, Tee Yong berkata menerusi aplikasi My Kira GST, sebanyak 60,000 aduan diterima daripada pengguna. – BERNAMA


Komen


comments