Kaherah: Kumpulan militan Houthi bersedia untuk duduk berbincang dalam satu rundingan damai sekiranya kempen serangan udara tentera bersekutu yang diketuai Arab Saudi dihentikan.
Seorang pegawai kanan militan Houthi, Saleh al-Sammad berkata, kumpulan itu juga mahu rundingan berkenaan dipantau oleh pihak yang tiada niat ‘agresif’.
Saleh adalah bekas penasihat Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi dan dia memberitahu rakyat negara berkenaan tidak mahu Abd-Rabbu pulang ke tanah air.
Abed Rabbo melarikan diri ke Arab Saudi selepas militan Houthi semakin hampir menawan bandar Aden pada bulan lalu.
Arab Saudi dan beberapa negara Teluk melancarkan serangan udara yang masuk hari ke-11 semalam yang bertujuan menghalang kemaraan militan Houthi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini cuba membawa Abed Rabbo dan pemimpin Houthi ke meja rundingan tetapi usaha itu gagal.
“Kami masih berpendirian terhadap satu dialog dan mendesak proses itu dilakukan secara berterusan atas dasar hormat antara kedua-dua belah pihak.
“Kami tidak menetapkan sebarang syarat selain menghentikan serangan sepanjang proses rundingan berlangsung.
“Mana-mana pihak antarabangsa yang tiada niat agresif terhadap rakyat Yaman boleh memantau dialog ini,” katanya.
Tambah Saleh, dia juga mahu sesi dialog itu disiarkan secara langsung kepada rakyat Yaman supaya mereka boleh mengetahui siapa yang menghalang proses damai.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman semalam memberitahu bahawa negara itu bersedia untuk satu perjumpaan politik dengan semua pihak di Yaman. - Reuters