Nahas Helikopter: Penyiasat UK Analisis Kotak Hitam



PUTRAJAYA: Perakam data penerbangan atau kotak hitam helikopter yang terhempas di Semenyih pada Sabtu akan dihantar ke United Kingdom untuk analisis.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tempoh masa seminggu diperlukan untuk keputusan dikembalikan dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di Farnborough.

"Pengambilan data dan analisis boleh mengambil masa lebih dari seminggu. Oleh itu, kita memerlukan masa.

"Ini adalah amalan biasa kerana hanya beberapa negara sahaja yang mempunyai keupayaan untuk mengekstrak maklumat dari kotak hitam. Keputusan analisis akan disediakan tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar.

Dua pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan seorang pegawai polis akan mengiringi kotak hitam tersebut.

Tiong Lai berkata kementerian telah menubuhkan satu pasukan siasatan yang terdiri daripada lima anggota diketuai oleh Datuk Yahya Abdul Rahman, untuk menyiasat punca kemalangan. Seorang Wakil Bertauliah dari Perancis dijangka menyertai pasukan.

Kotak hitam ditemui dalam keadaan sempurna pada pukul 11.30 pagi Ahad dalam bangkai helikopter Dauphin 2 AS365 (9M-IGB)  yang terhempas di sebuah ladang getah berhampiran Kampung Sungai Pening pada Sabtu. - mStar Online


Sumber: