KERAJAAN India terpaksa membuka semula akses kepada beratus-ratus laman web lucah dan porno di negara tersebut pada Rabu, selepas mendapat kecaman hebat daripada rakyatnya.
Hujung bulan lalu, pihak pemerintah meminta Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) di sana menyekat akses kepada 857 laman webbagi membanteras kegiatan pornografi, menjaga moral generasi muda India dan mengelak ianya menjadi punca jenayah seksual.
Bagaimanapun tindakan memblok laman web tersebut buat kali pertama nyata mendatangkan kecaman secara meluas hinggakan keputusan tersebut terpaksa dibatalkan.
“ISP kini bebas untuk membuka semula laman web lucah yang telah diblok asalkan kandungannya tidak memaparkan pornografi kanak-kanak,” demikian diumumkan jurucakap Kementerian Komunikasi India, NN Paul.
Begitu pun, sejumlah ISP yang kebingungan dengan perintah terbaharu ini dikatakan mengambil langkah tunggu dan lihat dahulu.
“Ini perintah yang masih samar, selagi tiada arahan cukup jelas kami tetap memblok laman web lucah terlibat,” ujar Ketua Persatuan ISP India, Rajesh Chharia.
Berdasarkan data kunjungan ke Pornhub, India merupakan negara keempat mencatat pelayar tertinggi laman web lucah tersebut selepas Amerika Syarikat, England dan Kanada pada tahun lalu